Cover 1

Andai Itu Takdirnya

Andai Itu Takdirnya

2008 • 588 pages

Ratings1

Average rating4

15

Ada sesetengah penulis, cukup bijak bermain dengan emosi pembaca. Perkataan-perkataan yang ditulis mampu memberikan impak atau kesan terhadap jiwa, emosi danminda pembaca. Itu antara ciri-ciri penulis yang baik. Satu lagi ciri-ciri yang bagus pada seorang penulis, kemampuan menghidupkan karakter-karakter mereka. Bagi aku, Siti Rosmizah tergolong dalam kumpulan penulis yang bagus.

Heronya, Syed Aizril, walaupun kacak, kaya dan daripada keturunan yang baik, tidaklah sesempurna mana. Seorang yang baran, egois, selfish, sesekali sangat keanak-anakan dan macam-macam lagi cacat cela beliau yang telah dilukis oleh Siti Rosmizah. Ada masanya, aku benci gila dengan Syed Aizril. Kalau dia hidup dalam dunia nyata, dah kena penerajang sedas. Kekasarannya dengan karakter heroin, Aleya, cukup memualkan.

Aleya pula dilukis sebagai satu karakter yang tabah dan tersangatlah penyabar. Ditangkap khalwat, dipaksa berkahwin, dibuang keluarga, dikeji dan didera suami, dihina mentua... satu demi satu cabaran ditempuhi Aleya dengan hati dan jiwa yang kental. Entahlah... ada ke manusia yang begitu penyabar? Mungkin. Aku tak tahu.

Banyak pengajaran sebenarnya boleh diperoleh dari novel ini. Fitnah, contohnya, mampu merosakkan hidup seseorang. Salah faham mampu membawa ke arah satu permasalahan yang besar. Macam-macam pengajaran yang ada di sebalik kisah rumah tangga Aleya dan Syed Aizril.

Kalau tak kerana kesalahan di antara fine dan find, “I raise my case” (yang sepatutnya “I rest my case”) dan beberapa kesalahan bahasa Inggeris lain yang terlalu nyata, mungkin aku bagi novel ini 5 bintang. Penyalahgunaan tatabahasa boleh menyebabkan kekeliruan pada pembaca. Ayat seperti “I'm very regret...” adalah salah. Aku kira editor perlu lebih memberi perhatian kepada perkara seumpama ini. Memang pantang sikit aku ni bab bahasa.

Apa pun, novel ini berjaya membuatkan aku menitiskan air mata, tahu? Jarang terjadi. Baca sendiri, baru tahu.

June 16, 2011Report this review